Official Idealian Facebook

Friday 18 November 2011

Elemen Penting Semasa Menghadapi Peperiksaan SPM

Peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia ) penting kerana ia bakal menjadi satu pengukur aras masa depan seseorang remaja. Ini kerana pelbagai urusan seperti permohonan kemasukan ke universiti mahupun untuk mendapatkan kerja, sijil peperiksaan SPM itu adalah menjadi keutamaan untuk dinilai.
Tanpa sijil SPM itu, masa depan remaja mungkin akan gelap dan menyebabkan kehidupan mereka terkandas di satu tahap yang mungkin akan kekal buat selama-lamanya.
Atas dasar itu, persediaan rapi diperlukan untuk menghadapi peperiksaan SPM bagi memastikan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dan tidak hanya sekadar membaca semata-mata.

Peperiksaan SPM – Elemen Penting

Pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, terdapat beberapa elemen yang perlu diberikan perhatian oleh pelajar menjelang peperiksaan SPM yang penting itu.
Menurut Tengku Asmadi, paling utama calon perlu memberikan penekanan terhadap persediaan seperti fizikal, mental, emosi dan rohani sebelum menduduki peperiksaan SPM.
Katanya, aspek fizikal adalah paling perlu diberikan penekanan kerana pelajar memerlukan kesihatan yang baik bermula dari membuat persediaan mengulang kaji sehinggalah ke dewan peperiksaan SPM kelak.
Katanya, aspek fizikal yang perlu diberikan penekanan adalah seperti pemakanan, tidur yang cukup, aktiviti riadah dan keselamatan diri.
Tengku Asmadi berkata, pemakanan seimbang penting kerana ia bakal membantu pelajar terus cergas dan bertenaga sebelum dan semasa mengambil peperiksaan SPM nanti.
“Sebaik-baiknya perlu mengambil banyak makanan seperti kurma, kismis dan makanan bijiran dan susu serta membuang terus tabiat pemakanan yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar.
Tambahnya lagi, pelajar juga perlu sentiasa melatih diri untuk sentiasa bangun dan tidur awal sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum peperiksaan SPM supaya pelajar terbiasa dengan keadaan itu ditambah dengan aktiviti riadah yang boleh membantu pelajar sentiasa cergas.
“Ironinya tidur awal adalah supaya pelajar mendapat rehat yang secukupnya setelah menjalani pelbagai aktiviti dan bangun awal kerana tidur berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.
“Apabila bangun awal gunakan masa itu untuk bersolat dan mengimbas apa yang dipelajari hari sebelumnya kerana pada awal pagi otak akan lebih mudah menyerap maklumat,” katanya.
Tengku Asmadi juga turut menyarankan pelajar memberi perhatian mengenai aspek emosi dengan tidak terlalu mengikut perasaan dalam melakukan sesuatu dan bimbang dengan peperiksaan SPM yang bakal menjelma.
Apa yang perlu dilakukan oleh pelajar adalah dengan sentiasa berfikiran positif dan jangan membelenggu fikiran dengan kegagalan kerana ia akan memberi kesan kepada tumpuan terhadap pelajaran.
“Berfikiran positif tidak kira kecil atau besar kejayaan itu tidak penting. Yang paling penting kita sentiasa berfikiran positif kerana ia akan memberi kesan yang baik ketika belajar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM terutamanya pelajar perempuan supaya tidak terlibat dalam cinta monyet.
Katanya, pengalaman dalam bidang motivasi telah menemukannya dengan pelbagai kes berkaitan dengan cinta monyet dan rata-rata daripada mereka telah menghancurkan masa depan mereka.
“Biasalah remaja, bila terperangkap dalam cinta monyet ini mereka akan bertindak di luar batasan dengan jiwa mereka yang memberontak dan akhirnya membawa kehancuran kepada masa depan mereka,” katanya.

Peperiksaan SPM – Elemen Lain

Tengku Asmadi berkata, antara elemen lain yang perlu diberi perhatian sebelum peperiksaan SPM adalah mengelak daripada semua konflik terutama dengan guru dan ibu bapa.
Katanya, ia penting kerana guru dan ibu bapa adalah komponen penting dalam kejayaan seseorang pelajar dan restu daripada mereka adalah penting sebelum menduduki peperiksaan SPM.
Sementara itu, bagi yang beragama Islam, beliau berkata aspek kerohanian penting dengan menjaga solat dan sentiasa berdoa kepada Tuhan bagi diberkati dan dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan SPM.
“Puasa sunat, berzikir dan bangun pada malam untuk melakukan sembahyang hajat adalah disarankan dan ajak ahli keluarga lain untuk bersama-sama melakukan bersama-sama.
“Ia juga dapat mengeratkan silaturahim dengan keluarga,” katanya.
Beliau juga turut meminta semua pelajar memaafkan semua orang yang telah melakukan kesalahan kepada diri mereka dan memohon maaf kepada orang lain terutama ibu bapa dan guru.
“Restu daripada ibu bapa amat penting dan bukan sekadar meminta maaf, tetapi berhadapan dengan setiap guru satu persatu-satu.
“Nyatakan penyesalan dan minta semua halalkan ilmu dan makan minum serta meminta mereka mendoakan kejayaan kita ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.

Peperiksaan SPM – jangan desak anak-anak

Sementara itu, Tengku Asmadi berkata, ibu bapa tidak seharusnya obses dengan keputusan cemerlang dan menekan anak-anak mereka demi kepuasan diri yang akhirnya akan memberi kesan kepada anak mereka.
Ini kerana katanya, ibu bapa memainkan peranan penting kerana kebiasaannya anak-anak akan melihat dan mengambil ibu bapa mereka sebagai contoh dalam menempa kejayaan.
“Anak-anak akan melihat ibu bapa mereka sebagai idola. Permintaan ibu bapa tidak akan dipandang rendah dan jika permintaan itu melampaui kemampuan mereka dikhuatiri akan memberi tekanan kepada mereka,” katanya.
Katanya, paling penting ibu bapa perlu memberi dorongan supaya mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan menghargai usaha mereka walaupun keputusan yang dicapai dalam peperiksaan SPM tidak mengikut kehendak mereka.
“Anak-anak apabila didesak akan menambahkan ketakutan dan kebimbangan dalam diri mereka.
“Menerima kemampuan dan sentiasa memberi galakan adalah lebih mulia dan itu juga adalah satu kejayaan,” katanya.
Sebagai alternatif katanya, ibu bapa disarankan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anak-anak mereka dengan memberitahu apa yang didoakan untuk mereka supaya anak-anak lebih menghargai apa yang dilakukan.
“Anak-anak akan lebih terharu dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Jangan kita paksa mereka, biar mereka usaha sendiri cuma beri galakan kepada mereka,” ujarnya.
Jelasnya, apa yang bakal mereka peroleh dalam keputusan peperiksaan SPM nanti adalah bukti usaha mereka dan ibu bapa harus terima dan terus memberi galakkan kepada mereka untuk terus berjaya.
“Tetapi jangan sesekali memaksa mereka kerana akhirnya anak-anak itu sendiri yang akan memilih apa yang terbaik untuk diri,” katanya.

Monday 19 September 2011

7 Tips Untuk Cemerlang dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan


Secara ringkasnya terdapat 7 tip untuk pelajar amalkan sebelum menghadapi peperiksaan
 
1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.SEMOGA BERJAYA.

Tuesday 13 September 2011

Motivasi diri menjelang peperiksaan

Motivasi adalah amat diperlukan ketika menjelangnya peperiksaan. Ini kerana, menjelang peperiksaan, bermacam perasaan akan bermain di dalam diri anda. Kadang-kadang anda rasa berdebar, kadang-kadang pula anda rasa gembira kerana penantian anda selama ini akan berakhir. Walau apa pun yang anda rasakan, anda perlu sentiasa menaikkan tahap motivasi anda untuk menghadapi peperiksaan.
Ada sahabat saya seorang guru yang bergurau dengan saya dengan mengatakan, “Pelajar yang pergi kursus motivasi ni, masa dalam kursus, semangat mereka panas membara. Mereka berkobar-kobar hendak belajar dengan lebih tekun dan mahu mencapai kejayaan yang selama ini nampak mustahil. Pendek kata, memang panaslah….
Tetapi, habis sahaja kursus, dalam perjalanan balik ke rumah, bila dah kena angin yang bertiup, terus je diorang sejuk. belum sampai ke rumah lagi pun dah sejuk. Habis, macam nak bersemangat untuk berusaha?”
Saya tergelak mendengar celoteh sahabat saya ini. Bila difikirkan, ada betulnya. Kursus motivasi boleh menaikkan semangat pelajar dengan cepat�tetapi selalunya cepat pula semangat mereka turun semula. Saya terfikir, mengapa ini terjadi?
osman affan
Ada banyak sebab mengapa ini terjadi. Tetapi satu sebab yang saya nampak dengan jelas ialah, kursus motivasi sebenarnya bukan sahaja cuba menaikkan semangat pelajar ketika kursus dijalankan, ia juga selalunya membekalkan teknik-teknik yang patut diamalkan agar pelajar sentiasa bersemangat untuk berusaha. Teknik-teknik ini selalunya dikenali sebagai teknik untuk memotivasikan diri sendiri.
Mungkin pelajar terlupa akan kepentingan teknik ini. Mungkin juga pelajar gagal mendisiplinkan diri untuk mencuba teknik-teknik tersebut. yang pastinya, motivasi bukan sahaja datang daripada luaran tetapi yang lebih penting ialah yang datang dari dalam diri pelajar itu sendiri. Minggu ini saya akan sentuh beberapa teknik untuk membuat anda faham bagaimana caranya meningkatkan tahap Motivasi.

Dipetik daripada : http://www.motivasibelajar.com/motivasi/motivasi-diri-menjelang-peperiksaan-2.html

Monday 12 September 2011

Definisi Bimbingan & Kaunseling


Suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Ia dijalankan oleh kaunselor profesional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh. Pertemuan adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berlandaskan Etika Kaunseling.
 
Kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien . Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.
 
Oleh kerana kaunseling bukan nasihat, hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan mendengar dan memberikan layanan serta interaksi yang baik, manakala klien memberihalkan masalah mereka dan cuba memahami dan mengambil tindakan menguruskan masalah tadi. Proses aksi dan reaksi di antara klien dan kaunselor turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapinya.